ISU-ISU DALAM KAJIAN
WACANA
Tahap Penerimaan dalam
Kajian Analisis Wacana
ABSTRAK
Tahap
penerimaan merupakan sesuatu yang penting dalam wacana kerana tahap penerimaan
akan menilai tahap penerimaan dan pemahaman pendengar atau pembaca terhadap
sesebuah teks. Tahap penerimaan ini dilihat dalam dua keadaan iaitu penerimaan
tinggi dan penerimaan rendah. Oleh itu, analisis ini akan menganalisis dengan
lebih terperinci tentang tahap penerimaan tinggi dan juga tahap penerimaan
rendah berdasarkan contoh-contoh yang diberikan. Selain itu, analisis ini juga
akan melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan
kerana dilihat berupaya mempengaruhi tahap penerimaan seseorang pembaca atau
pendengar. Hal ini disebabkan oleh tahap kebolehbacaan berkaitan dengan aspek
seperti proses membaca, iaitu kefasihan dan pemahaman. Tambahan pula, analisis
ini juga turut menyelitkan langkah-langkah untuk mengatasi setiap permasalahan
yang mengakibatkan sesuatu ayat itu dikategorikan sebagai penerimaan rendah.
Kata kunci :
wacana, tahap penerimaan, penerimaan tinggi, penerimaan rendah, tahap
kebolehbacaan,
PENDAHULUAN
Menurut
Henry Guntur Tarigan, wacana merupakan satuan bahasa yang terlengkap dan
tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi
tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang disampaikan
secara lisan atau tertulis. Hal ini bermaksud setiap ayat, cerita, dialog
mahupun buku seharusnya mempunyai awal dan akhir iaitu dimulai dengan
kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan.
Asmah Haji omar pula, mendefinisikan wacana sebagai
unit bahasa yang melebihi batas ayat. Hal ini bermakna, wacana boleh terdiri
daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian bab, buku dan sebagainya. Tambahan pula
turut memperlihatkan kesatuan dan hubungan antara butir-butir fikiran dan
perkembangan akaliah yang terdapat di dalamnya.
Selain itu, menurut Sanat Md. Nasir (2002), wacana
merujuk kepada teks, iaitu unit bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks boleh
berdiri sebagai satu ayat yang baik secara fonik mahupun grafik. Tambah beliau
lagi, wacana bermakna bidang kajian terhadap unit bahasa tersebut. Hal ini
menyamai dengan maksud analisis wacana. Analisis teks, linguistik teks ataupun
linguistik wacana.
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. dalam
Analisis Wacana (2012: 104) analisis wacana merujuk kepada usaha mengkaji
organisasi bahasa yang melampaui peringkat ayat dan klausa. Wacana merupakan
rakaman kebahasaan yang menyentuh tentang peristiwa komunikasi. Seterusnya,
analisis wacana juga turut meneliti penggunaan bahasa dan konteks serta
dianggap penggunaan bahasa dalam konteks yang membawa makna. Hal ini demikian
kerana, wacana akan wujud apabila berlakunya interaksi antara penulis dengan
pembaca jika melibatkan karangan atau komunikasi bertulis.
Analisis wacana disebut juga sebagai kajian wacana,
linguistik teks atau tatabahasa wacana. Bidang ini sebenarnya merealisasikan
konsep unit tatabahasa yang tertinggi, terbesar atau terlengkap sebagai korpus
bahasa yang dikaji. Seterusnya, analisis wacana merupakan cabang ilmu bahasa
yang dikembangkan untuk menganalisis suatu unit bahasa yang lebih besar
daripada kalimat (Soeseno, 1992: 1). Tambahnya lagi, analisis wacana merujuk
kepada usaha dalam mengkaji organisasi bahasa yang melampaui peringkat ayat dan
klausa. Kajian yang akan dilakukan ini ialah tahap penerimaan dalam kajian
analisis wacana. Oleh itu, pengkaji akan menjelaskan secara terperinci
berkaitan tajuk tersebut.
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. dalam
Tatabahasa Wacana (2012: 33) tahap penerimaan merupakan penilaian yang dibuat
oleh penulis terhadap kebolehan membaca mesej yang disampaikan. Di samping itu,
menilai pemahaman pendengar atau pembaca terhadap sesuatu teks. Pembaca atau
pendengar berfungsi untuk menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh
penulis atau penutur dapat difahami dengan jelas atau tidak. Oleh itu, dapat
dikatakan bahawa pendengar atau pembaca merupakan penerima wacana. Tahap penerimaan
boleh dibahagikan kepada dua iaitu penerimaan tinggi dan penerimaan rendah.
Penerimaan tinggi berlaku sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya
wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Penerimaan
rendah pula terjadi sekiranya sesuatu ayat tidak bermakna dan tidak dapat
difahami oleh pembaca atau pendengar . Jika hal ini berlaku, ayat tersebut
tidak dikategorikan sebagai sebuah wacana.
METODOLOGI KAJIAN
Kaedah
kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kepustakaan. Pengkaji
memulakan langkah pertama dengan membuat pelbagai pembacaan ke atas buku-buku
rujukan yang berkaitan dengan tajuk yang dikaji iaitu Tahap Penerimaan dalam
Kajian Analisis Wacana di Perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan
Idris. Antara bahan bacaan tersebut ialah Tatabahasa Wacana, Analisis
Wacana, Kamus Dewan Edisi Keempat dan lain-lain. Selain itu, maklumat
daripada laman sesawang juga turut diambil dan digunakna untuk menambah
maklumat yang sedia ada.
OBJEKTIF KAJIAN
Analisis
yang dilakukan ini merangkumi objektif-objektif seperti yang berikut :
i)
Mengenal pasti tahap penerimaan sama ada tinggi atau rendah dalam sesebuah
wacana
ii)
Melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan
BATASAN KAJIAN
Analisis
ini hanya tertumpu kepada bidang analisis wacana sahaja kerana tahap penerimaan
merupakan aspek yang terdapat dalam bidang analisis wacana. Analisis ini
tertumpu kepada dua tahap penerimaan iaitu penerimaan tinggi dan penerimaan
rendah berdasarkan contoh-contoh yang diberikan. Selain itu, melihat perkaitan
antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan pembaca atau pendengar
terhadap sesebuah teks dan langkah yang sesuai untuk mengatasi setiap
permasalahan bagi penerimaan rendah.
PERBINCANGAN/ ANALISIS
Analisis
ini akan membincangkan dengan lebih lanjut dua jenis penerimaan iaitu
penerimaan tinggi dan penerimaan rendah berdasarkan contoh-contoh yang
diberikan. Selain itu, analisis ini akan melihat perkaitan antara tahap
penerimaan dengan tahap kebolehbacaan. Tambahan pula, analisis ini akan melihat
cadangan-cadangan yang sesuai dalam mengatasi masalah penerimaan rendah.
1.
Tahap
Penerimaan
Wacana
merupakan kesatuan bahasa yang lengkap dan paling tinggi dalam pertuturan dan
penulisan. Hal ini memperlihatkan kesinambungan fikiran, baik dari aspek
komunikasi dan juga konteks. Selain itu, wacana juga merupakan satu rententan
ujaran yang berkaitan antara satu sama lain mengikut urutan kalimat-kalimat.
Menurut Idris Aman (2010), kebolehterimaan bermaksud
idea, gagasan atau mesej yang diutarakan dalam wacana mesti mampu difahami dan
diikuti oleh khalayaknya. Oleh itu, urutan ayat atau teks dalam wacana bertulis
atau ujaran dalam tuturan perlu diberi perhatian. Jikalau idea itu sukar atau
mujarad pewacana wajar memudahkan cara penyampaiannya dengan memperbanyak
keterangan, contoh, huraian, definisi dan lain-lain.
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2012:
95), penerimaan merupakan salah satu tahap yang terdapat dalam runtutan.
Penerimaan akan menilai tahap penerimaan dan juga pemahaman pendengar ataupun
pembaca terhadap sesebuah teks. Pada tahap penerimaan, seseorang pembaca atau
pendengar akan menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis atau
penutur dapat difahami dengan jelas ataupun tidak. Oleh itu, pendengar atau
pembaca merupakan penerima sesebuah wacana. Seterusnya, tahap penerimaan
seseorang itu tinggi sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya
wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tambahan
pula, tahap penerimaan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap
penerimaan. Tahap penerimaan dalam analisis wacana ini dapat dibahagikan kepada
dua iaitu :
2.
Penerimaan
Tinggi
Penerimaan
tinggi bermaksud sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana
yang diujarkan oleh penutur atau penulis sama ada dalam bentuk lisan mahupun
tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan akan menjadi tinggi apabila tahap
tujuan sama dengan tahap penerimaan. Selain itu, penerimaan yang tinggi
terhadap sesuatu wacana yang diujarkan menunjukkan keberhasilan sesuatu
penghasilan wacana tersebut. Hal ini demikian kerana, penerimaan tinggi
tersebut menunjukkan wacana tersebut mendapat tarikan pendengar atau pembaca
kerana mudah difahami dengan jelas. Di samping itu, tahap penerimaan tinggi
sekiranya seseorang penulis atau pembicara mengembangkan idea topik dengan
sempurna dan lengkap bagi memudahkan pembaca memahami tujuan penulisan dan
berpuas hati dengan pembacaan agar mereka dapat memahami wacana yang hendak
disampaikan. Contohnya seperti yang berikut :
Autistik ini dikenali sebagai neurodevelopmental
disorder iaitu satu kecelaruan dalam pembentukan otak. Fungsi dan bentuk
bahasa individu autistik adalah agak terkebelakang jika dibandingkan dengan
kanak-kanak yang seumur dengannya. Individu autistik kurang berpotensi untuk
membentuk fleksibiliti dalam bidang penggunaan bahasa. Pertuturan mereka bergantung
kepada hafalan. Tajuk perbualan mereka terhad walaupun mereka mempunyai
perbendaharaan kata yang luas. Masalah kata ganti nama adalah masalah yang
sering terjadi dalam pertuturan individu autistik. Kerencatan akal yang dialami
oleh kanak-kanak autistik adalah lebih teruk jika diukur dari sudut psikologikal,
di mana tindak balas terhadap rangsangan adalah perlahan.
Berdasarkan contoh ayat di atas adalah dianggap sebagai wacana. Hal ini kerana,
ayat tersebut bermakna dan memperlihatkan saling berkaitan antara suatu ayat
dengan suatu ayat yang seterusnya. Secara tidak langsung, memberikan kefahaman
dan kejelasan kepada pembaca atau pendengar terhadap sesuatu teks. Berdasarkan
ayat tersebut ayat topiknya ialah autistik. Jika dilihat ayat seterusnya
menerangkan tentang ciri-ciri bagi individu yang mengalami autistik. Ayat di
atas saling berkesinambungan antara ayat. Ayat tersebut dilihat menepati tujuan
seseorang penulis dalam sesebuah wacana. Hal ini demikian kerana, ayat tersebut
mempunyai makna dan mempunyai kesinambungan antara ayat-ayat. Oleh itu, pembaca
dapat memahami tujuan penulis tersebut. Hal ini menunjukkan tahap tujuan
seseorang penulis adalah sama tinggi dengan tahap penerimaan pembaca apabila pembaca
dapat memahami sesebuah teks yang ditulis oleh penulis ayat ini. Contoh ayat yang lain boleh dilihat
adalah berdasarkan ayat yang berikut:
Pokok
kari atau nama saintifiknya ialah Murraya Koenigii merupakan sejenis pokok yang
kecil, malar hijau dan ketinggiannya boleh mencapai 3-5 meter. Batangnya tidak
begitu lurus, berdahan banyak dan bercabang-cabang. Batang pokok kari ini
adalah jenis kayu lembut ketika muda dan menjadi kayu yang keras apabila
dewasa. Daun kari mempunyai susunan yang bertentangan dengan bentuk epiliptik
berukuran 2-3 cm panjang dan 1.0-1.5 cm lebar. Daun kari ini akan membentuk
silara yang agak rimbun. Daun kari ini mempunyai bunga kecil yang berwarna
putih.
Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat tersebut
dianggap sebagai sebuah wacana kerana membawa makna. Hal ini demikian kerana,
ayat tersebut menunjukkan bahawa penulis ingin menyampaikan sesuatu maklumat
kepada pembaca tentang sesuatu perkara iaitu berkaitan dengan pokok kari. Tahap
penerimaan seseorang pembaca terhadap teks tersebut dapat dinilai. Hal ini demikian
kerana, pembaca dapat memahami tujuan penulis menulis wacana tersebut. Oleh
sebab itu, menunjukkan bahawa tahap tujuan seseorang penulis adalah sama dengan
tahap penerimaan pembaca. Antara contoh
lain juga dapat dilihat di bawah ini :
Kanak-kanak
yang menghidapi Sindrom Down mempunyai ciri-ciri fizikal yang unik kerana
mempunyai iras muka yang hampir sama. Mereka juga mempunyai pangkal hidung yang
kemek. Mata mereka adalah sepet iaitu bahagian luarnya naik ke atas dan terdapat
lipatan pada kedua-dua sisi hidung yang menutupi bahagian dalam mata. Selain
itu, mata mereka sentiasa berair dan kelihatan merah. Saiz mulut mereka adalah
kecil dan sentiasa terbuka serta tidak tertutup dengan rapat. Tambahan pula,
saiz lidah yang tebal, kasar dan pendek menyebabkan lidah penghidap Sindrom
Down selalu terjelir. Di samping itu, mereka mempunyai bentuk badan yang
gempal, rendah dan agak bongkok. Mereka juga majoritinya berambut lurus dan
lembut.
Berdasarkan contoh ayat di atas penulis sebenarnya
ingin menyampaikan maklumat kepada pembaca atau pendengar berkaitan dengan
ciri-ciri fizikal kanak-kanak yang menghadapi Sindrom Down. Jika dilihat
ayat tersebut mempunyai makna. Hal ini demikian kerana ayatnya mempunyai
perkaitan dan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Tahap penerimaan
oleh pembaca dan pendengar terhadap teks ini dapat dinilai. Hal ini demikian kerana,
pembaca atau pendengar dapat memahami tujuan penulis menulis sesebuah wacana
tersebut. Contoh yang lain
adalah seperti di bawah:
Obesiti
atau kegemukan menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh
membawa kepada kematian. Penyakit-penyakit yang dihidapi kesan daripada obesiti
boleh merendahkan kualiti hidup penghidapnya. Antara penyakit-penyakit yang disebabkan
oleh obesiti ialah Dyslipidaemia, kegagalan jantung, Osteoarthritis, dan
lain-lain lagi.
Ayat di atas menjelaskan maklumat mengenai implikasi
kegemukan atau obesiti. Ayat di atas merupakan laras sains kerana menggunakan
istilah-istilah sains seperti dyslipidaemia, Osteoarthritis dan
lain-lain. Ayat ini mempunyai makna dan memenuhi sesebuah wacana. Hal ini
demikian kerana, setiap ayat yang ditulis mempunyai kesinambungan antara satu
sama lain. Tahap penerimaan bagi ayat ini adalah dapat dinilai kerana pembaca
atau pendengar dapat memahami dengan jelas apa yang cuba disampaikan oleh
penulis.
3.
Penerimaan
Rendah
Penerimaan
rendah merujuk kepada sesuatu ayat yang disampaikan oleh penulis atau penutur
yang tidak bermakna. Sekiranya ayat tersebut tidak membawa apa-apa makna maka
ayat tersebut akan sukar difahami oleh pendengar atau pembaca. Tambahan pula,
ayat seperti itu tidak boleh dikategorikan sebagai sesebuah wacana. Sekiranya
fenomena ini terjadi maka tahap penerimaan pembaca atau pendengar terhadap
sesebuah ayat adalah rendah. Antara contoh ayat tersebut adalah
seperti yang berikut:
Nur
Sakinah merupakan seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya. Dia selalu
dimarahi oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang
sehinggakan ibu bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu.
Berdasarkan ayat di atas adalah tidak boleh dianggap
sebagai sebuah wacana. Hal ini kerana ayat tersebut tidak bermakna dan secara
tidak langsung menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Ayat di
atas merupakan ayat yang berlawanan dengan ayat seterusnya. Jika dilihat ayat
tersebut menerangkan bahawa ‘Nur Sakinah seorang anak yang sangat taat
kepada ibu bapanya’ adalah berlawanan dengan ‘Dia selalu dimarahi
oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang sehinggakan ibu
bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu’. Hal ini bermakna ayat tersebut
tidak membawa makna dan sekaligus menyebabkan tujuan wacana ayat tersebut tidak
jelas.
Apabila keadaan ini berlaku sudah pasti akan
menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Hal ini telah
mengakibatkan pembaca atau pendengar tidak memahami sesuatu ayat yang ingin
disampaikan dengan jelas dan tepat. Tambahan pula, ayat tersebut tidak
menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain.
Di samping itu, keadaan ini akan menyebabkan tahap tujuan seseorang penulis
atau penutur tidak sampai kepada tahap penerimaan seseorang pembaca dan
pendengar kerana pembaca atau pendengar tidak memahami makna ayat tersebut
serta tujuan penulis atau penutur menyampaikan ayat tersebut. Oleh itu, ayat
tersebut dianggap mempunyai tahap penerimaan yang rendah dan tidak digolongkan
sebagai sebuah wacana yang utuh. Antara
contoh ayat yang lain adalah seperti yang berikut:
Maslinda
seorang yang sentiasa memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Dia selalu
dipandang serong oleh masyarakat kerana selalu memakai pakaian yang menjolok
mata.
Berdasarkan ayat di atas menunjukkan bahawa ayat
tersebut membawa makna yang bertentangan dengan dengan makna ayat yang kedua.
Ayat yang disampaikan kepada pembaca atau pendengar tersebut adalah tidak
bermakna. Ayat di atas tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara
satu ayat dengan satu ayat yang lain. Ayat itu sepatutnya apabila Maslinda
seorang yang sentiasa memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat maka sudah
tentulah dia tidak akan memakai pakaian yang menjolok mata sehinggakan
masyarakat memandang serong terhadapnya. Jika wujudnya pertentangan seperti
yang berlaku pada ayat ini akan mengakibatkan pembaca atau penutur keliru dalam
memahami makna sebenar ayat tersebut. Ayat seperti ini tidak dianggap sebagai
sebuah wacana. Keadaan ini akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap ayat ini
menjadi rendah. Contoh yang seterusnya
:
Leman
seorang pelajar yang rajin berusaha dan cerdik. Di sering melakukan salah laku
buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh guru kelasnya.
Contoh ayat di atas menunjukkan dua ayat yang
mengandungi makna yang bertentangan antara satu sama lain. Sekiranya penulis
atau penutur menyampaikan sesuatu ayat yang sebegitu maka pendengar atau
pembaca akan menghadapi kesukaran untuk memahami makna ayat tersebut dengan
jelas. Kekeliruan makna ayat tersebut akan menyebabkan ayat ini tergolong dalam
tahap penerimaan yang rendah. Ayat di atas sepatutnya apabila Leman seorang
pelajar yang rajin berusaha dan cerdik maka sudah tentulah dia tidak akan
melakukan salah laku buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh guru
kelasnya. Namun, ayat tersebut berlawanan antara ayat yang pertama dengan ayat
yang kedua. Contoh berikutnya
ialah:
Persembahan
deklamasi sajak oleh Firdaus amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh.
Persembahannya begitu hambar dan membosankan.
Berdasarkan contoh di atas ayatnya juga tidak
berkesinambungan dan tidak ada perkaitan antara ayat yang pertama dengan ayat
yang kedua. Sepatutnya apabila persembahan deklamasi sajak oleh Firdaus amat
menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh maka sudah tentu persembahannya tidak
hambar dan tidak membosankan. Contoh ayat tersebut telah memberi kekeliruan
makna kepada pendengar atau pembaca. Tambahan pula, ayat yang ingin disampaikan
oleh penutur atau penulis tidak jelas maknanya. Oleh sebab itu, ayat ini
digolongkan sebagai tahap penerimaan yang rendah kerana tahap tujuan penulis
atau penutur tidak sampai dengan jelas kepada pembaca atau pendengar
4.
Perkaitan
Tahap Penerimaan dengan Tahap Kebolehbacaan
Menurut Marohaini Yusoff (2014: 22)
mendefinisikan bahawa kebolehbacaan merupakan satu konsep yang merujuk pada
tahap atau darjah susah senangnya sesuatu bahan untuk dibaca. Bahan yang susah
untuk dibaca dikatakan mempunyai tahap kebolehbacaan tinggi. Manakala bahan yang
senang dibaca dikatakan mempunyai kebolehbacaan yang rendah. Tahap
kebolehbacaan sesuatu bahan bacaan diukur apabila bahan itu dibaca. Oleh itu,
tahap kebolehbacaan sesuatu bahan itu berbeza-beza, bergantung pada tahap
kebolehan membaca seseorang pembaca. Menurut Mohd Rashid Md Idris et
al. (2012: 98), tahap penerimaan yang melibatkan seseorang pembaca atau
pendengar adalah bergantung kepada tahap kebolehbacaan mereka.
Kebolehanbacaan adalah berkaitan dengan beberapa
aspek seperti proses membaca iaitu pemahaman atau kefasihan. Sekiranya,
seseorang pendengar atau pembaca menguasai aspek tersebut maka secara tidak
langsung akan mempengaruhi sesuatu tahap penerimaan terhadap bahan yang
disampaikan oleh penulis atau penutur. Menurut Marohaini Yusoff (2014: 24),
tahap kebolehbacaan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah
perbendaharaan kata, pembentukan ayat atau jenis ayat dan panjang pendek ayat
serta perkataan. Selain itu, penggunaan konsep-konsep, saiz dan stail cetakan,
penggunaan dan penyusunan bahan visual atau grafik, bentuk penulisan,
penyusunan idea atau isu minat pembaca dan pengetahuan latar pembaca juga
mempengaruhi tahap kebolehbacaan.
Pemahaman terhadap sesuatu bahan bukanlah sekadar
dikaitkan dengan makna-makna yang terdapat dalam tulisan bercetak tetapi juga
turut bergantung kepada kelancaran dan kefasihan serta tarikan dan minat
terhadap bahan yang dibaca. Hal ini merupakan suatu elemen yang sangat penting
supaya pembaca atau pendengar dapat memahami sesebuah wacana yang disampaikan
oleh seseorang penutur atau penulis. Oleh itu, tahap penerimaan sesuatu bahan
yang dibaca sudah tentu akan menjadi tinggi. Marohaini Yusuff (2014: 24-25),
mengatakan bahawa minat dan pengetahuan serta pengalaman pembaca merupakan
faktor yang tidak dapat dikawal. Contohnya, bahan X mungkin dapat menarik minat
pembaca atau pendengar A tetapi membosankan pembaca atau pendengar B. Apabila
situasi ini berlaku menunjukkan bahawa kebolehbacaan bahan X adalah rendah bagi
pembaca atau pendengar A dan tinggi bagi pembaca atau pendengar B. Lazimnya,
seseorang itu mendapati pembacaan sesuatu bahan menyeronokkan kerana mereka
sudah mempunyai pengetahuan dan pengalaman lalu yang dapat dikaitkan dengan apa
yang dibaca.
Jika dilihat berdasarkan contoh situasi tersebut
tahap kebolehbacaan sememangnya dapat dikaitkan dengan tahap penerimaan.
Sekiranya, kebolehbacaan pembaca atau pendengar rendah maka sudah tentulah
tahap penerimaan terhadap sesebuah wacana adalah tinggi kerana sesebuah wacana
tersebut dapat memberi kefahaman, kefasihan dan juga berupaya menarik minat
mereka. Manakala, jika kebolehbacaan pembaca atau pendengar tinggi terhadap
sesuatu bahan maka tahap penerimaan mereka akan menjadi rendah kerana bahan
tersebut tidak memberi kefahaman, tidak menarik minat mereka dan menimbulkan
kekeliruan kepada mereka.
Selain itu, aspek kebolehbacaan turut menegaskan
tentang masalah pemahaman terhadap pengetahuan makna dan juga frasa serta boleh
menghubungkan bahan-bahan yang dibaca dengan pengalaman-pengalaman seseorang.
Oleh itu, aspek kebolehbacaan oleh seseorang pembaca dalam tahap penerimaan
sangat penting supaya seseorang itu dapat membaca sesebuah wacana dengan baik
dan seterusnya dapat memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan oleh
seseorang penulis.
CADANGAN MENGATASI TAHAP PENERIMAAN RENDAH
Masalah
tahap penerimaan rendah ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa aspek
tertentu. Walau bagaimanapun, setiap masalah atau kerumitan yang berlaku sudah
tentulah mempunyai langkah dan cara yang sesuai dalam mengatasi permasalahan
itu. Apabila tahap penerimaan rendah dapat diatasi dengan baik maka sudah
pastilah wacana yang disampaikan itu menjadi lebih bermakna dan secara tidak
langsung komunikasi yang diwujudkan akan lebih efektif serta berkesan. Seperti
yang diketahui, sesebuah teks yang dianggap baik apabila tujuan penulis sama
dengan penerimaan pembacanya. Sekirannya tujuan pembaca atau pendengar ingin
mendapatkan sesuatu maklumat maka tujuan penulis atau penutur mestilah sama
dengan tujuan pembaca atau pendengar tersebut.
Contohnya, pembaca ingin mendapatkan maklumat
mengenai obesiti atau kegemukan maka pembaca tersebut hendaklah mendapatkan dan
mencari wacana atau teks seperti buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan obesiti
atau kegemukan. Seandainya, pembaca tersebut mencari dan membaca bahan-bahan
ilmiah yang tidak berkaitan dengan tujuannya itu seperti buku politik, buku
masakan dan lain-lain sudah tentulah tahap penerimaannya rendah dan secara
tidak langsung komunikasi antara pembaca yang ingin mendapatkan maklumat
mengenai obesiti atau kegemukan dengan penulis politik dan masakan tidak
berkesan.
Seterusnya, bahasa yang digunakan oleh penulis atau
penutur mestilah bahasa yang dapat difahami dengan jelas oleh pembaca atau
pendengar. Misalnya, penulis atau penutur menggunakan bahasa Melayu ketika
komunikasi berlaku maka pembaca atau pendengar haruslah memahami bahasa
Melayu tersebut. Hal ini barulah tahap penerimaan akan menjadi tinggi kerana
pembaca atau pendengar faham dengan jelas melalui penggunaan bahasa Melayu
tersebut. Sekiranya, penutur menggunakan bahasa Melayu kepada mereka yang tidak
memahami mahir dalam bahasa Melayu atau tidak faham bahasa Melayu sudah
pastilah tahap penerimaan tersebut akan menjadi rendah. Oleh itu, bahasa yang
digunakan oleh golongan penutur dan penulis mestilah difahami oleh golongan
pendengar atau pembaca. Bahasa yang berlawanan dengan bahasa yang difahami oleh
pembaca atau pendengar akan mengakibatkan tahap penerimaan rendah.
Selain itu, penulis atau penutur perlulah
menggunakan ayat yang mudah difahami oleh pembaca atau pendengar. Penulis atau
penutur perlu memastikan ayatnya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pembaca
atau pendengar. Penggunaan ayat yang ringkas, tidak berbelit-belit dan tidak
mengelirukan pembaca atau pendengar perlu dititik beratkan atau ditekankan oleh
penulis atau penutur dalam memastikan tahap penerimaan tinggi. Tambahan pula,
penutur atau penulis sememangnya digalakkan untuk menggunakan ayat yang padat
tetapi ringkas.
Penulis atau penutur juga perlulah bijak dalam
mengembangkan idea topiknya dengan sempurna dan lebih bermakna. Oleh itu,
penulis atau penutur mestilah mempunyai pengetahuan dalam tautan dan runtutan.
Hal ini demikian kerana, tautan dan runtutan berupaya untuk mengembangkan
sesuatu idea serta dapat memastikan penulisan tersebut mempunyai pertalian.
Apabila penulis atau penutur dapat mengembangkan idea topiknya dengan baik maka
kesinambungan atau perkaitan antara satu ayat ke satu ayat yang lain akan
terwujud. Hal ini secara tidak langsung memberi kefahaman kepada pembaca atau
pendengar dan terhasilah tahap penerimaan yang tinggi.
RUMUSAN
Secara
kesimpulannya, wacana ini merupakan unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran
yang utuh dan melebihi batas ayat. Wacana bukan sahaja disampaikan melalui
tulisan malahan melalui lisan iaitu komunikasi. Wacana boleh terdiri daripada
ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan lain-lain lagi.
Hal ini menggambarkan bahawa hubungan dan perkembangan idea secara berturutan
dan lengkap. Selain itu, wacana dikatakan utuh agar pembentukannya dapat
memberi kejelasan dan kefahaman kepada pembaca atau pendengar. Oleh itu, dapat
dilihat bahawa sesebuah wacana yang dihasilkan oleh seseorang penutur mahupun
penulis berupaya mempengaruhi tahap penerimaan sama ada tinggi ataupun rendah.
Penerimaan tinggi terhadap sesebuah wacana berlaku
apabila seseorang pembaca atau pendengar memahaminya dengan jelas dan apabila
tahap tujuannya sama dengan tahap penerimaan. Tambahan pula, wacana yang tidak
menimbulkan kekeliruan dan tidak menggunakan ayat yang berbelit juga menjadi
faktor kepada penerimaan tinggi. Penerimaan rendah pula berlaku apabila ayat
yang disampaikan oleh penulis atau penutur tidak bermakna dan menimbulkan
kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Oleh sebab itu, sesuatu ayat yang
disampaikan oleh penutur atau penulis tidak dapat difahami dengan jelas.
Apabila situasi ini berlaku ayat tersebut tidak digolongkan sebagai sebuah
wacana.
Selain itu, tahap penerimaan ini juga dilihat amat
berkait rapat dengan tahap kebolehbacaan kerana, kebolehbacaan ini berkait
dengan pemahaman dan kefasihan. Hal ini bermaksud jika seseorang pembaca atau
pendengar itu mempunyai tahap kebolehbacaan yang baik maka sudah pastilah
mereka dapat memahami sesebuah wacana dengan jelas. Selain itu, jika dilihat
masih lagi terdapat penghasilan ayat yang tidak utuh dari segi wacananya yang
mengakibatkan tahap penerimaan menjadi rendah. Oleh itu, langkah-langkah atau
cara mengatasi masalah tahap penerimaan rendah yang dinyatakan dalam analisis
ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk memastikan tahap penerimaan menjadi
tinggi.
RUJUKAN
Hendry
Tarigan. (1995). Pengajaran Wacana. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Idris
Aman. (2010). Analisis Wacana.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kamus
Dewan Edisi Keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd
Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan abdul dan Adenan Ayob. (2012).
Tatabahasa
Wacana. Perak : Emeritus
Publications.
Mohd
Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan abdul dan Adenan Ayob. (2012).
Analisis Wacana. Perak
: Emeritus Publications.
Mahoraini
Yusuff. (2014). Strategi Pengajaran
Bacaan dan Kefahaman: Memantapkan
Pembelajaran di
Sekolah Menengah. Selangor: PTS Akademia
Sanat
Md. Nasir. (2002). Tautan dalam
Wacana Bahasa Melayu Akhbar. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Wacana
(2012). Diperoleh pada 20 April, 2015 daripada wacanaq.blogspot.com
Wacana
(2009). Diperoleh pada 20 April, 2015 daripada http://pelangi
petang89. Blogspot.com/
2009/07/wacana.html
No comments :
Post a Comment