1.0 PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Menurut
Smith (1969), penulisan merupakan satu proses penghasilan wacana bertulis
dengan ketepatan dan formaliti yang berbeza-beza berdasarkan tujuan dan
keperluan penulisan. Barnow (1989) pula berpendapat bahawa penulisan merupakan
satu cara untuk melahirkan bahasa manusia melalui simbol-simbol yang dapat
dilihat. Secara umumnya pula, penulisan merupakan satu proses yang melibatkan
pembentangan idea-idea serta penyusunan yang dilakukan oleh penulis berkaitan
dengan sesuatu isu untuk dipersembahkan kepada pembaca.
Setiap idea yang telah diutarakan oleh penulis
hendaklah jelas maksudnya menerusi penggunaan bahasa yang tepat dan teknik
penulisan yang sesuai seterusnya mampu menyalurkan idea kepada pembaca. Di
Malaysia , penulisan merupakan satu aspek yang diberi penekanan dalam kurikulum
sekolah, terutamanya bagi tujuan menduduki peperiksaan umum seperti Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). Pengajaran penulisan naratif di sekolah adalah bertujuan
untuk meningkatkan kemahiran menulis serta mengasuh pelajar tentang amalan
kebudayaan, norma serta nilai-nilai yang dihargai dalam budaya dan bahasa.
Tujuan penulisan adalah untuk menghasilkan penulisan
kreatif dan bukan kreatif yang menggunakan bahasa yang gramatis dan laras yang
tepat serta memperlihatkan pertautan idea dan wacana yang kemas dengan
pemikiran yang kritis dan analitis. Penulisan juga mengukuhkan kemahiran
berfikir pada peringkat yang tinggi seperti menganalisis, mengaplikasi dan menilai
maklumat. Disamping itu, penulisan juga merupakan satu kaedah untuk pelajar
berkomunikasi, mengorganisasikan fikiran dan maklumat, menyampaikan idea dan
perasaan serta memperlihatkan kefahaman tentang sesuatu mata pelajaran.
1.2 DEFINISI TATABAHASA
WACANA DALAM KEMAHIRAN PENULISAN
Melalui
sumber yang diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia 2003, tatabahasa
merujuk kepada aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu. Morfologi merupakan
bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk kata, dan penggolongan kata.
Sintaksis pula merupakan bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan
binaan ayat. Menurut Harimuthi (1982) dalam Sharifah (2007), wacana ialah unit
bahasa yang melebihi batas ayat.
Wacana merupakan satuan bahasa yang lengkap kerana
sesuatu wacana mungkin terdiri daripada dua atau beberapa gabungan ayat, satu
perenggan, satu bab, sebuah buku atau satu siri buku. Selain itu, wacana turut
menunjukkan perkembangan fikiran yang berurutan dan disusun secara sempurna
seterusnya menghasilkan satu pemikiran yang utuh. Wacana terletak dalam hieraki
tertinggi iaitu selepas tingkat ayat, klausa, frasa dan kata. Wacana
direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, perenggan,
kalimat atau ayat yang membawa amanat yang lengkap.
Stubbs dalam Taringan (1993) turut mengemukakan
definisi yang hampir sama iaitu, wacana merupakan organisasi bahasa yang berada
di atas klausa. Dengan perkataan lain, apabila terdapat unit-unit linguistik
lebih besar daripada klausa, maka ianya akan disebut sebagai wacana. Moeliono
(1995) dalam Adenan (2013) pula mendefinisikan wacana sebagai rentetan kalimat
yang berkaitan sehingga terbentuk makna yang serasi antara kalimat tersebut.
Wacana mewujudkan komunikasi verbal iaitu dalam bentuk lisan dan bukan lisan.
Wacana lisan merupakan komunikasi lisan yang melibatkan pembaca dan pendengar.
Manakala bagi wacana bukan lisan pula adalah dalam bentuk penulisan yang
melibatkan penulis dan pembaca. (Surdayat, 2009)
1.3 KONSEP TATABAHASA
WACANA DALAM KEMAHIRAN PENULISAN SEKOLAH RENDAH
Konsep
pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan karangan bagi pelajar sekolah
rendah merangkumi perbendaharaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda
baca dan ejaan (Kamarudin, 2002). Melalui pengajaran tatabahasa dalam penulisan
murid akan dapat menulis perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis
penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang
telah dilalui. Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis,
tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.
Pengajaran tatabahasa di sekolah membolehkan pelajar
berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik (Azizi Abd Talib, 2000). Mengulas
daripada pendapat yang telah dikemukan oleh beliau, dapat dinyatakan bahawa
pengajaran tatabahasa wacana penting bagi membantu pelajar agar dapat
menggunakan sistem bahasa yang sesuai, menghasilkan ayat yang gramatis dan
berkomunikasi dengan berkesan. Dalam sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM
(2001), aspek tatabahasa sangat ditekankan dan dijadikan dasar kecekapan
berbahasa dan diajar secara terancang dalam konteks bagi menghasilkan ketepatan
berbahasa. Ini bagi membolehkan murid-murid mengikuti pengajaran tatabahasa
secara berkesan dan memudahkan pemahaman mereka.
Pengajaran tatabahasa juga hendaklah diajar dengan
tidak memisahkan aspek-aspek tatabahasa yang hendak diajar dengan kemahiran
bahasa yang lain. Pengajaran tatabahasa yang terancang juga dapat membantu
murid-murid memahami unsur-unsur tatabahasa, fungsinya dan makna tatabahasa.
Oleh itu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM (2001) mencadangkan bahawa
tatabahasa hendaklah digabungkan dengan kemahiran-kemahiran berbahasa iaitu
mendengar, bertutur, membaca dan menulis.Tujuan utama penggabungan ini adalah
untuk memastikan pengajaran tatabahasa sahaja. Hal ini demikian kerana, dengan
strategi ini murid akan belajar dan menguasai tatabahasa sambil melakukan
aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran yang ditetapkn. (Awang Sariyan,
2004).
2.0 STRATEGI PENGAJARAN
WACANA PENULISAN KARANGAN PERINGKAT SEKOLAH RENDAH
Marohaini
Yusoff (1989) mendapati bahawa fenomena pengajaran dan pembelajaran di sekolah
lebih tertumpu kepada penghasilan isi atau fakta dalam kegiatan menulis atau
mengarang. Aspek penggunaan bahasa yang baik dan teknik-teknik mengarang yang
berkesan kurang dititikberatkan. Murid hanya diberi penekanan terhadap berfikir
untuk mendapatkan isi.
Fenomena ini menyebabkan murid kurang berkemahiran
dalam berfikir untuk menghasilkan atau memikirkan cara yang berkesan
menyampaikan sesuatu mesej atau idea dengan menggunakan wacana tatabahasa yang
tepat dalam penulisan karangan. Isahak Haron (1979) dalam Hasyim Othman (2000)
pula mengatakan bahawa karangan bukanlah sekadar hasil kepandaian atau
kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata, frasa, dan ayat, tetapi merupakan
kemahiran penyampaian idea, fakta dan sebagainya secara lisan atau bukan lisan
dengan menggunakan alat komunikasi iaitu bahasa.
Hal ini selaras dengan Kurikulum bahasa Melayu,
iaitu menyediakan murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan
menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat. Murid mampu
mengungkapkan segala ilmu daripada pelbagai bidang disiplin atau mata pelajaran
lain disamping mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
(Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM, 2000). Oleh itu, dalam usaha untuk
mempertingkatkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar, aspek tatabahasa
harus diberi penekanan. Strategi pengajaran penulisan yang berkesan akan
memberikan kesan kepada keupayaan murid dalam menghasilkan penulisan yang baik
dan gramatis. Dalam usaha untuk mempertingkatkan kemahiran penulisan murid,
Kamarudin Husin (1988) telah mengemukakan tiga peringkat strategi penulisan
iaitu sebelum, semasa dan selepas penulisan.
2.1 PERINGKAT SEBELUM
PENULISAN
Dalam
peringkat sebelum penulisan, murid perlu memahami dengan jelas kehendak soalan
dan format penulisan seperti yang dikehendaki. Setelah memahami kehendak
soalan, kata kunci perlu digariskan untuk memudahkan murid menghasilkan idea.
Seterusnya, membuat rangka penulisan yang merangkumi pendahuluan, isi, dan
penutup. Pelbagai cara yang berkesan boleh diaplikasikan dalam mencatat isi,
antaranya ialah menggunakan pernomboran, peta konsep minda dan lain-lain lagi.
2.2 PERINGKAT SEMASA
PENULISAN
Pada
peringkat ini, penulisan perlu dilakukan berdasarkan isi atau kerangka
penulisan seperti yang telah dirangka. Pendahuluan hanya ditulis secara ringkas
tetapi merangkumi ayat tesis, ayat topik, ayat sokongan dan kesimpulan agar
pembaca lebih mudah untuk memahami apa yang telah ditulis. Setiap isi dalam
penulisan perlu dinyatakan dan diikuti dengan penjelasan atau keterangan lanjut
yang disertakan dengan contoh. Penutup dalam penulisan juga dibuat secara
ringkas iaitu membuat rumusan secara keseluruhan penulisan. Penulisan juga
perlu diikuti dengan sistem ejaan, tanda baca, tatabahasa, kosa kata, dan
wacana yang digunakan dengan betul dan sesuai.
2.3 PERINGKAT SELEPAS
PENULISAN
Setelah
menyiapkan karangan, murid perlu membaca semula hasil penulisan untuk menyemak
format, isi atau huraian, imbuhan, struktur ayat, ejaan, tanda baca, dan
perbendaharaan kata. Apabila kesalahan yang dikenalpasti dalam penulisan
tersebut, pembetulan perlu dilakukan atau membuat penambahan terhadap
kekurangan yang terdapat dalam penulisan yang dihasilkan.
3.0 CIRI-CIRI DAN
KEPENTINGAN MENGAPLIKASIKAN WACANA DALAM PENULISAN KARANGAN
3.1 CIRI-CIRI WACANA
Ciri-ciri
bagi wacana ialah berstruktur iaitu merangkumi pendahuluan, isi, dan penutup.
Dalam pendahuluan, penulis membayangkan perkara yang ingin dibincangkan
selanjutnya. Hujah, ulasan, dan pendapat tentang isu yang disertakan dengan
contoh pula ditulis dalam isi. Dalam penutup pula, kesimpulan secara menyeluruh
dilakukan terhadap penulisan yang dibuat. Selain itu, setiap wacana yang
dihasilkan dalam penulisan juga mempunyai tujuan kerana dengannya kita dapat
menentukan jenis wacana yang ingin digunakan. Wacana digunakan dalam penulisan
berformat dan penulisan tidak berformat. wacana dalam penulisan berformat
meliputi surat kiriman tidak rasmi, surat kiriman rasmi, dialog, syarahan,
ucapan, perbahasan, laporan, berita dan catatan harian. Wacana dalam penulisan
tidak berformat pula tidak mempunyai format yang khusus dan kebiasaannya,
penulisan jenis ini menghendaki penulis membincangkan sesuatu topik yang diberi
berdasarkan pengalaman. (Adenan dan Mohd Rain, 2013).
Menurut Beaugrand dan Dressler (1981) yang dipetik
dari surat khabar Berita Harian pada tahun 2008 menyatakan bahawa terdapat
tujuh ciri wacana yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana, iaitu tautan,
runtutan, tujuan, penerimaan maklumat, keadaan dan interteks.
I. Kohesi atau tautan : keserasian hubungan antara
satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana
bagi menghasilkan wacana yang lengkap. Keserasian hubungan tersebut dapat
dilihat melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat lain dalam
wacana yang sama, frasa atau ayat dengan perkataan.
II. Koheran atau runtutan : kesinambungan idea yang
terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan teks tersebut bermakna.
III. Tujuan : ditentukan oleh penghasil wacana
tersebut. Tujuan juga membolehkan penghasil wacana menentukan jenis wacana yang
digunakan.
IV. Penerimaan : tahap penerimaan seseorang itu
tinggi sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang
dihasilkan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.
V. Maklumat : terbahagi kepada dua iaitu maklumat
lama dan maklumat baru. Maklumat lama merupakan maklumat yang telah dinyatakan
pada peringkat awal dan diulang semula dalam konteks yang berikutnya. M
Maklumat baru pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan anggapan
pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.
VI. Keadaan : sesuatu wacana yang dihasilkan perlu
sesuai dengan keadaan. Oleh itu, untuk menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan
keadaan, pemilihan kata, frasa atau ayat adalah penting.
VII. Interteks : bermaksud wacana yang bergantung
kepada wacana lain. Wacana-wacana yang lain turut memainkan peranan penting
untuk membantu seseorang memahami dengan mudah. Kefahaman seseorang terhadap
sesebuah wacana bergantung kepada terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya
itu. Pengetahuannya
3.2 KEPENTINGAN
MENGAPLIKASIKAN WACANA DALAM PENULISAN KARANGAN
Wacana dalam penulisan karangan akan mempengaruhi
pengolahan, penyusunan struktur ayat, pembahagian perenggan, penggunaan kosa
kata, dan penggunaan bahasa secara keseluruhan bagi menghasilkan sebuah
penulisan atau ucapan yang baik. Isi yang banyak dan bertepatan dengan tajuk
dapat menghasilkan sebuah penulisan yang baik. Walaubagaimanapun, sekiranya
sesebuah penulisan tersebut tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai, maka
penulisan tersebut tidak akan sempurna kerana binaan ayatnya tidak gramatis.
i.
Contoh penanda wacana
bahagian pendahuluan : “sebelum saya membicarakan dengan lebih lanjut, eloklah
saya menerangkan maksud kebersihan”.
ii.
Contoh penanda wacana
bahagian isi : Pelbagai punca yang dikenal pasti telah mengakibatkan berlakunya
masalah ini, antaranya ialah pencemaran udara, pencemaran air dan sebagainya.
iii.
Contoh penanda wacana
bahagian penutup : Kesimpulannya, bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan
hidup kita, amalan kebersihan diri dan persekitaran amatlah penting bagi setiap
individu.
Penanda wacana merupakan perangkai ayat untuk
menentukan perkaitan atau kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang
lain dalan ayat atau perenggan. Antara penanda wacana yang sering digunakan
ialah Sselain itu, keadaan ini, namun begitu, akibatnya begitu jua, sebaliknya,
walaupun, kesimpulannya, akhirnya, seterusnya, jadi, sementara, kalau demikian,
walau bagaimanapun, sebelumnya, kini, pada umumnya, keseluruhannya, tegasnya
dalam nada berbeza, justeru, sejajar dengan itu, meskipun demikian, dan oleh
hal demikian.
4.0 APLIKASI PENULISAN
WACANA DALAM PENULISAN SEKOLAH RENDAH
Aplikasi
penulisan wacana dalam dalam penulisan sekolah rendah melibatkan tajuk atau
objektif, kemahiran, media pengajaran, dan kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif. Contohnya : tajuk atau objektif : penulisan - menyambung cerita. murid
boleh – menulis tentang tajuk yang diberikan.
Kemahiran
: 1.16 – menyoal untuk mendapatkan maklumat.
2.26
– memberikan pendapat tentang sesuatu pernyataan yang diketahui. Media
pengajaran:- gambar, kad perkataan dan keratin akhbar.
KBKK
: Sumbang saran dan menyusun mengikut urutan.
4.1 MERANCANG PENULISAN
1.KERANGKA PENULISAN
Pengenalan
memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau
tidak faham. Murid perlu menarik perhatian pembaca supayamembaca penulisan
tersebut. Isi Isi hendaklah mengikuti kehendak tajuk penulisan tersebut.
Penulisan yang baik sekurang kurangnya mengandungi empat isi dan disusun dengan
teratur serta berkaitan antara satu dengan yang lain. Setiap isi perlu
dipecahkan dalam perenggan yang khusus dan isi yang utama mestilah didahulukan
dalam penulisan tersebut. Pastikan semasa mengolah ayat, isi tidak terkeluar
daripada tajuk yang dikehendaki. Keaslian isi penulisan sangat penting dalam
mnghasilkan sesebuah penulisan yang bermutu iaitu tidak meniru bulat-bulat
daripada penulisan lain. Terdapat enam kaedah yang boleh diaplikasikan dalam
mengenalasti isi iaitu,
i.
apakah?
ii.
siapakah?
iii.
bilakah?
iv.
mengapakah?
v.
dimanakah?
vi.
bagaimanakah?
Penutup Kesimpulan merupakan rumusan secara
menyeluruh bagi sesuatu penulisan yang telah dihasilkan. Dalam kesimpulan,
pendapat mengenai perbincangan atau tajuk penulisan juga perlu digambarkan
secara ringkas dan penamatan penulisan secara mengejut dan tergantung perlu
dielakkan.
4.2 CARA MENULIS
Pemilihan
tajuk atau soalan semasa memilih tajuk soalan, baca dan fahami terlebih dahulu
setiap tajuk atau soalan dan mengenalpasti segi bentuk soalan iaitu berformat
atau tidak berformat. Kemudian pilih tajuk yang benar-benar boleh dikuasai.
Penyusunan rangka penulisan Dengan menggunakan kaedah yang mudah untuk
mendapatkan isi, senaraikan semua isi penting secara ringkas dan menyusun isi
mengikut urutan dan kepentingan. Kemudian, memasukkan huraian yang disertakan
dengan comtoh yang sesuai. Semasa memulakan penulisan, pastikan dimulakan
dengan pendahuluan pada perenggan yang pertama. Setiap isi yang dihuraikan
perlu ditulis dalam satu perenggan dan disertai dengan contoh. Penyemakan
penulisan setelah selesai menulis, murid perlu melakukan penyemakan bagi
memastikan tiada kelemahan dalam penulisan yang dihasilkan. Antara aspek yang
perlu disemak ialah, kejelasan tulisan, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan
imbuhan, struktur ayat dan aspek tatabahasa yang lain.
5.0 KESIMPULAN DAN
PENUTUP
Penulisan yang baik perlu mengembangkan ideanya
dengan baik dan sempurna. Penulisan yang baik dan berkesan ialah “clear
writing is clear thinking” (penulisan yang baik merupakan pemikiran yang
jelas”) Ssouri (1981). Penulisan adalah untuk menghasilkan penulisan kreatif
dan bukan kreatif yang menggunakan bahasa yang gramatis dan laras yang tepat
serta memperlihatkan pertautan idea dan wacana yang kemas dengan pemikiran yang
kritis dan analitis. Penulisan juga mengukuhkan kemahiran berfikir pada
peringkat yang tinggi seperti menganalisis, mengaplikasi dan menilai maklumat.
wacana pula merupakan unit bahasa yang melebihi batas ayat. Selain itu, wacana
turut menunjukkan perkembangan fikiran yang berurutan dan disusun secara
sempurna seterusnya menghasilkan satu pemikiran yang utuh. Wacana terletakkan
dalam hieraki tertinggi iaitu selepas tingkat ayat,klausa, frasa dan kata.
Konsep pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan karangan bagi pelajar
sekolah rendah merangkumi perbendaharaan kata, struktur ayat, penggunaan
imbuhan, tanda baca dan ejaan.
Kamarudin Husin (1988) telah mengemukakan tiga
peringkat strategi penulisan wacana bagi peringkat sekolah rendah iaitu
sebelum, semasa dan selepas penulisan. Ciri-ciri wacana pula merangkumi tautan,
runtutan, tujuan, penerimaan maklumat, keadaan dan interteks. Wacana penting
dalam penulisan karangan kerana mempengaruhi pengolahan, penyusunan struktur
ayat, pembahagian perenggan, penggunaan kosa kata, dan penggunaan bahasa.
Aplikasi penulisan wacana dalam dalam penulisan sekolah rendah melibatkan tajuk
atau objektif, kemahiran, media pengajaran, dan kemahiran berfikir secara
kritis dan kreatif. Kesimpulannya, mengarang bukanlah suatu proses yang hanya
berdasarkan kepada jumlah idea atau isi, ejaan, tanda baca dan struktur binaan
ayat semata-mata. Sebaliknya, proses mengarang memerlukan kemampuan membina
perenggan idea atau isi yang sempurna dari segi pengolahannya dan mempunyai
wacana yang berkesan.
RUJUKAN
Adenan
Ayob.,Mohd Rain Shaari. (2013). Tatabahasa Dalam Pengajaran Bahasa Melayu
: Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.
Meteor
Doc. Awang Sariyan. (2004). Teras Pendidikan Bahasa Melayu: Asas Pegangan
Guru. Kuala Lumpur: PTS Publications and Distributors.
Hashim
Othman. (2000). Penaksiran Kemahiran Menulis karangan Bahasa Melayu daripada
Perspektif Komunikatif: Penetapan Piawai Perlakuan Minimum dan Analisis
Kecekapan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamarudin
Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya. Longman Malaysia.
Marohaini
Yusoff, Mahzan Arshad & Abdul Jalil Othman (2002). Bahasa Melayu Tingkatan
Empat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa daan Pustaka.
Nik
Safiyyah Karim. Berita Harian, 2008. Pusat Perkembangan Kurikulum (2000).
Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Bahasa Melayu.
Kementerian
Pendidikan Malaysia. Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Sukatan Pelajaran
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah: Bahasa Melayu. Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Sharifah
Nor Syed Abd Rahman.,Nornajmah Najmuddin., Rosdah Omar. (2007). Bahasa Melayu
Kertas 1&2. Arah pendidikan sdn.bhd. Selangor Darul Ehsan.
Taringan.,Henry
Guntur (1993). Pengajaran Kosakata. Bandung.Angkasa. Yayat Surdayat. (2009).
Makna Dalam Wacana : Prinsip-prinsip Semantik dan Pragmatik. Bandung,
Indonesia.Yrama Widaya.
No comments :
Post a Comment